Halaman

10 May 2012

Kerajaan Terengganu sumbang 20 komputer kepada Mahkamah Tinggi

Oleh FAUZI MOHD

Mahkamah Tinggi Terengganu menerima 20 unit komputer sumbangan kerajaan negeri untuk ditempatkan di makmal komputer mahkamah berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata kemudahan itu bagi membolehkan rakyat yang mempunyai kes di mahkamah membuat semakan dan sebagainya melalui sistem online yang disediakan di makmal berkenaan.

"Dengan kemudahan komputer yang ada di mahkamah, orang ramai yang terlibat dengan perbicaraan bolehlah membuat rujukan dan sebagainya seperti bila kes mereka akan dibicarakan," katanya ketika merasmikan makmal komputer dan majlis makan tengah hari dengan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di Mahkamah Tinggi, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinudin.

Dato’ Seri Ahmad berkata, pemberian komputer itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membantu semua jabatan kerajaan melaksanakan penggunaan komputer sepenuhnya.