Halaman

26 May 2012

Kem Kesihatan di Pulau Perhentian didik penduduk jaga kebersihan


Oleh: Mohammad Ishak 

Program Kem Kesihatan yang berlangsung tiga hari di pusat peranginan terkenal Pulau Perhentian bukan sahaja mengajak penduduk mengikuti aktiviiti sosial malah ia turut memberi pendidikan terhadap usaha menjaga kesihatan dan kebersihan.

Pejabat Kesihatan Daerah Besut yang bertindak selaku penganjur utama berjaya menarik minat penyertaan komuniti khususnya penduduk di pulau pelancongan itu menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang tempoh program.

Sempena berlangsung kem itu pelbagai acara menarik turut diadakan termasuk kempen mengutip sampah, gotong royong bersih kawasan pulau,sukaneka dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Yang Berhormat Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, merasmikan kem berkenaan.

Dr A Rahman berkata, kem itu juga menarik perhatian pelancong yang berkunjung ke pulau itu kerana mereka dapat menyaksikan sendiri penduduk negeri ini menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama agensi kerajaan

Katanya, penyertaan beberapa agensi kerajaan menandakan sokongan dan kerjasama semua pihak bagi menjayakan program itu. Beliau berharap penduduk yang tinggal di pusat pelancongan terkenal itu sentiasa menjaga kebersihan kerana ia akan mencerminkan keindahan dan kebersihan terutama dikalangan pelancong asing.