Halaman

31 May 2012

JKKK Jalan Tekukur, Gong Lingai muncul johan kampung bersih peringkat negeri

Oleh: Aida Abd Rahman



Menjadikan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang memenangi pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri 2010/2011 sebagai indikator dan panduan memberi pulangan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Jalan Tekukur, Kuala Terengganu apabila memahat kejayaan serupa bagi kategori dalam kawasan operasi pada tahun ini.



Kemenangan kampung yang memiliki kepadatan 2,750 penduduk dan berbilang kaum diketuai Pengerusi JKKK, Puan Arpah Othman berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta RM250,000 sebagai dana bagi menjalankan projek pembangunan kampung.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu, petang semalam (30 Mei).

Selain menggondol hadiah utama, JKKK Jalan Tekukur turut meraih hadiah terkumpul RM4,000 masing-masing bagi kategori Kebersihan Persekitaran Dalam Kawasan kampung, Keceriaan Landskap, Kawalan Vektor dan Kepimpinan.

Menurut Puan Arpah, sifat muafakat dan kerjasama semua AJK JKKK dan penduduk dengan bantuan penghulu sejak September tahun lalu bagi memastikan kampung mereka boleh memenangi pertandingan yang julung kali disertai itu membuahkan hasil apabila diumumkan johan pertandingan.

Katanya, ramai wanita kampung berkenaan terlibat dengan Industri Kecil Sederhana termasuk mengusahakan makanan seperti sate, karipap, popia, selain mengusaha kedai kek popular di bandar ini, Ziq Bakery & Cake.

“Ziq Bakery turut membantu memberi peluang dan ruang kepada anak muda yang menganggur untuk mempelajari selok-belok penyediaan biskut dan kek sebagai persiapan melibatkan diri dalam perniagaan itu.

“Malah, kami juga akan menganjurkan bengkel perniagaan untuk penduduk kampung bagi memberi pendedahan dan memajukan lagi kampung kami pada masa depan,” katanya.

Selain itu, Puan Arpah berkata balai raya di kampungnya juga akan dinaiktaraf dengan peruntukan RM265,000 bagi dijadikan dewan serbaguna untuk kegunaan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno menjalankan aktiviti persatuan, selain berfungsi sebagai gelanggang badminton serta juga lokasi bagi mengadakan majlis keraian serta kenduri.

Sementara itu, bagi kategori kampung luar kawasan operasi pula dimenangi oleh Kampung Gong Lingai yang membawa pulang wang tunai RM25,000 serta peruntukan RM250,000 bagi menjalankan projek pembangunan kampung.

Selain hadiah kemenangan itu, kampung berkenaan yang diketuai Pengerusi JKKK, Encik Mohamad Mat Ali, 55, itu turut menggondol wang tunai RM3,000 masing-masing bagi kategori Kebersihan Infrastruktur Dalam Kawasan Kampung, Keceriaan Landskap dan kawalan Vektor.