Halaman

08 May 2012

JHEAT belanja RM480,000 kursus imarah masjid 2010-2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan kira-kira RM480,000 bagi melaksanakan kursus pengimarahan masjid seluruh Terengganu sepanjang 2010 hingga tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh siri kusus dijalankan pada 2010 dengan melibatkan perbelanjaan hampir RM277,000, manakala lima siri kursus diadakan pada tahun lalu dengan peruntukan RM203,000.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata seramai 1,830 peserta di kalangan imam dan bilal menyertai kursus mengimarahkan masjid menerusi tujuh siri dengan setiap siri merangkumi tiga sesi sepanjang 2010.

“Kehadiran peserta pada tahun lalu lebih baik dan meningkat apabila 2,342 atau 70.10 peratus peserta berjaya hadir ke semua empat siri kursus JHEAT melaksanakannya sejak awal hingga penghujung 2011.

“Jumlah pada tahun lalu itu tidak termasuk kursus fasa tiga yang dilaksanakan pada 3 November di tiga daerah, Kuala Terengganu, Besut dan Marang yang merekod kehadiran 253 orang dengan perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM35,000,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Haji Mohd Rozali berkata, sehingga kini, lebih 50 peratus peserta berjaya hadir ke setiap sesi kursus yang lazimnya diperuntukkan kepada 100 hingga 120 peserta itu.

Beliau berkata, JHEAT akan terus mengadakan program pengimarahan itu bagi memastikan peranan pemimpin barisan depan dalam masyarakat itu akan terus diperkasakan dan di pandang tinggi seluruh umat Islam.

Dalam perkembangan yang sama, jumlah peserta sepanjang tahun lalu itu berjaya mencapai sasaran JHEAT untuk memastikan kira-kira 1,000 imam dan bilal menyertai kursus itu secara berperingkat-peringkat bermula April sehingga penghujung 2011.