Halaman

06 May 2012

Jawatankuasa JKKK Rumah Awam ikuti latihan IT 1Malaysia


Oleh: Mohammad Ishak
 
Seramai 15 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih, berjaya menamatkan sesi latihan kemahiran komputer 1Malaysia yang berlangsung di Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Seberang Jertih.

Latihan yang memberi tumpuan kepada pembinaan laman web itu di anjurkan oleh Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM).

Penyelaras kursus,Mazlan Jusoh berkata, latihan jangka pendek itu bertujuan memberi kemahiran kepada ahli jawatankuasa JKKKmembina laman web untuk kemudahan mereka menyampaikan maklumat peribadi dan organisasi.

Katanya, mereka adalah kumpulan pertama yang menerima latihan di bawah skim latihan komuniti 1 Malaysia anjuran SKKM dan pusat berkenaan. Sempena tamat kursus satu majlis penyampaian sijil kepada peserta diadakan secara ringkas di PJK Seberang Jertih yang disampaikan Pengerusi PJK berkenaan,Mohammad Ishak.

Mazlan berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan lebih banyak kursus seumpama itu kepada jawatankuasa JKKK daerah Besut supaya lebih ramai yang mempunyai kemahiran dalam bidang komputer.

Sementera itu,pihak pengurusan PJK berkenaan akan menganjurkan Hari Terbuka PJK yang akan berlangsung sehari pada 17 Mei mulai jam 8 pagi hingga 5 petang bertempat di perkarangan pusat berkenaan.

Program tahunan itu dijangka dirasmikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri,Yang Berhormat Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Palimen Besut.