Halaman

07 May 2012

Jangan pertikai calon

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu mengingatkan semua pengundi terutama golongan wanita tidak pertikaikan calon Barisan Nasional (BN) sebaliknya beri sokongan penuh tanpa mengira siapa dan asal usulnya.

Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, semua pihak perlu akur siapa saja calon dipilih pucuk pimpinan, yang penting dan perlu diberi penekanan ialah kekalkan kuasa BN di negeri dan negara ini.

“Keamanan dan kestabilan pemerintahan di bawah BN perlu dipertahankan dan menjadi tanggung jawab semua rakyat yang cintakan kemakmuran,” katanya kepada Teganukita.

Melalui gerak kerja yang dilakukan oleh jentera wanita diperingkat akar umbi, beliau yakin BN mampu mengekalkan dua pertiga kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya yakin 50 peratus pengundi wanita adalah penyokong BN dan golongan ini merupakan pengundi setia yang tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pihak luar,” kata Ketua Wanita Bahagian Hulu Terengganu.

Menurutnya, jentera wanita di arahkan untuk terus berdamping dengan pengundi di peti-peti undi seluruh negeri sehinggalah tarikh PRU diumumkan.

“Jentera kita tidak akan berhenti berkempen dan menjadi pendamping setia masyarakat, beramah mesra dan akan memberi penjelasan segera terhadap isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang,” katanya.