Halaman

01 May 2012

Jangan lupa sejarah silam


Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh Mastura Jamaluddin.

“Kita sepatutnya mengimbau kembali sejarah silam…bagaimana kepayahan hidup orang Melayu di tanah air sendiri. Masihkah ingat tentang kesukaran untuk menjalani hidup seharian, mencari sesuap nasi demi menyara anak-anak,rumah yang beratap rumbia dan berlantaikan buluh cukup mengambarkan kesusahan orang Melayu pada masa itu,” demikian kata Pengerusi Felcra Berhad, Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman (gambar kiri).

Beliau berkata, bagi membantu kaum Melayu di tanah air sendiri, maka pemimpin pada masa itu telah mencetuskan idea untuk menubuhkan FELCRA melalui penubuhan ladang-ladang dan aktiviti yang berkaitan yang efisyen dan menguntungkan.



“Hari ini ia kekal sebagai sebuah ‘Plantation House’ dan berkembang sebagai konglomerat yang terkemuka” katanya ketika berucap di Majlis Kunjungan Mesra bersama peneroka-peneroka FELCRA di Parlimen Hulu Terengganu.

“Ingatlah kepada semua yang hadir pada hari ini bahawa tanpa UMNO tiadalah FELCRA dan kerana Barisan Nasional wujudnya FELCRA pada hari ini yang banyak membantu orang Melayu dalam meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Kira-kira 1500 peserta FELCRA hadir untuk mendengar amanat yang di sampaikan YB Dato’ Haji Tajuddin pada petang serta penyampaian dividen akhir tahun 2011 kepada peserta FELCRA Berhad Parlimen Hulu Terengganu.



Di samping itu, penyampaian sumbangan korporat FELCRA Berhad seperti insentif melanjutkan pelajaran IPTA/IPTS (Yayasan FELCRA), Bantuan Warga Peserta FELCRA Berhad( kurang Upaya ) dan insentif untuk warga emas turut diadakan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBM Dato’ Hj Tengku Putera bin Tengku Awang,Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu; YB Tuan Hj Mohd Nor Othman, Ahli Parlimen Hulu Terengganu; YB Haji Rozi Mamat, ADUN Telemong; YB Haji Mohd Zawawi Ismail, ADUN Kuala Berang; Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad Timur; Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri Hulu Terengganu; serta peneroka-peneroka FERCRA Berhad di Parlimen Hulu Terengganu.