Halaman

28 May 2012

Cabaran fotografi Terengganu bersih dan indah

Oleh; Esah Abdullah

Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu menganjurkan pertandingan cabaran fotografi 1Malaysia Green 1Malaysia Clean (1MG 1MC) Terengganu bagi tujuan mempromosikan produk dan wajah-wajah pelancongan negeri melalui fotografi.

Pengarahnya, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, pertandingan bertemakan ‘Terengganu Bersih dan Indah’ itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan gambar-gambar penyertaan hendaklah diambil di seluruh tempat di negeri ini sahaja.

Katanya, hadiah tempat pertama berupa wang tunai RM1,000 beserta sijil, kedua (RM700), ketiga (RM500), keempat (RM400) dan kelima (RM200) manakala tempat keenam hingga ke-10 menerima sijil penyertaan dan setiap pemenang akan menerima sehelai baju T 1MG 1MC.

Menurutnya setiap peserta dibenarkan menghantar tidak melebihi dua keping gambar berukuran 8R = 8 inci x 10 inci beserta borang pendaftaran, CD yang mengandungi imej digital dan jika guna kamera analog (filem) sertakan bersama negatif/transparensi.

Borang dan gambar hendaklah dihantar sebelum atau selewat-lewatnya 30 Jun depan ke Pejabat Kementerian pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, No.6B, C&D Wisma MBKT, Jalan Hiliran, 20300 Kuala Terengganu.

Sebarang info dan maklumat penyertaan boleh didapati di facebook dan blog pertandingan www.facebook.com/Terengganu Photografy Challenge 1MG 1MC atau www.terengganubersihindah.wordpress.com.