Halaman

01 May 2012

Biar rumah cat hijau, tetapi undi BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Orang Pas rumah dia cat hijau, bukan rumah je, sampai ke jamban pun cat hijau. Kereta buruk gogek-gogek tengah jalan pun pun cat hijau. Kuatnya Pas, tapi kalu pemimpin Pas, ada rumah dia cat hijau? Kereta cat hijau? Orang Pas ni padan kena kecek ke pemimpin je,” begitu sinis sindiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kepada penyokong Pas setiap kali beliau berucap di kebanyakan majlis di seluruh negeri.

Sindiran Menteri Besar itu memang tepat kerana hakikatnya, di kawasan tertentu yang dikatakan kubu Pas, memang banyak rumah dicat dengan warna hijau.

Ada juga rumah sampai atap pun hijau, mungkin penyokong kuat Pas agaknya.

Bagi mengimbangi keadaan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad memperkenalkan Program Bantuan Atap Biru sejak 2008 di mana rumah rakyat yang bocor digantikan dengan atap baru, berupa asbestos yang dicat dengan warna biru.

Sejak tahun 2008 hingga 2011 kerajaan negeri membelanjakan RM54,4 juta bagi membiayai program menggantikan rumah rakyat yang atapnya bocor berjumlah 10,880 buah rumah di seluruh negeri.

Dalam tempoh yang sama, kerajaan membelanjakan kira-kira RM16.12 juta bagi membaiki 1,728 rumah yang uzur manakala sejumlah RM43.2 juta digunakan bagi membina 1,600 rumah baru bagi golongan termiskin.
.
Penduduk kampung yang rumah mereka bocor sebelum ini, pastinya boleh tidur nyenyak selepas atap rumah mereka diganti baru.

Seperti bantuan lain, sebahagian daripada mereka yang menerima bantuan atap rumah atau membaiki rumah merupakan penyokong Pas.

Kata orang tua-tua, orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi kita merasa. Sepatutnyalah budi pemimpin BN mengadakan pelbagai kemudahan kepada mereka itu dibalas dengan baik, bukannya dibalas dengan tuba.

Dalam hal ini, seruan Menteri Besar amat wajar disahut oleh rakyat Terengganu. “Kita dah beri macam-macam kepada rakyat. Kerajaan tak minta apa-apa daripada rakyat. Cuma satu kita mitak. Undilah BN bila tiba pilihan raya,”.

Kita harap pada PRU 13 ini, biarlah rumah mereka cat hijau, tetapi undi tetap BN.