Halaman

31 May 2012

Belanja RM36.26 juta, bayar elaun imam dan bilal

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan kira-kira RM36.26 juta sepanjang tempoh 2008 hingga tahun lalu, bagi membayar elaun kepada 2,100 imam dan bilal seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, pembayaran elaun sebanyak RM12.95 tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding RM6.70 juta pada 2010 berikutan imam dan bilal menerima penyelarasan elaun baru.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata kadar elaun yang diterima golongan itu bermula 1 Januari tahun lalu adalah sebanyak RM800 bagi seorang iman berbanding tiga skim sebelum ini iaitu RM650, RM625 dan RM600.

“Manakala bilal pula dibayar sebanyak RM600 seorang berbanding RM450, RM425 dan RM400,” katanya.

Menurutnya, JHEAT turut membelanjakan kira-kira RM480,000 bagi melaksanakan kursus pengimarahan masjid seluruh Terengganu sepanjang 2010 hingga tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh siri kusus dijalankan pada 2010 dengan melibatkan perbelanjaan hampir RM277,000, manakala lima siri kursus diadakan pada tahun lalu dengan peruntukan RM203,000.

“Seramai 1,830 peserta di kalangan imam dan bilal menyertai kursus mengimarahkan masjid menerusi tujuh siri dengan setiap siri merangkumi tiga sesi sepanjang 2010,” katanya.

Katanya, sehingga kini, lebih 70 peratus peserta berjaya hadir ke setiap sesi kursus yang lazimnya diperuntukkan kepada 100 hingga 120 peserta itu,” katanya.

“Pihak kami akan terus mengadakan program pengimarahan itu bagi memastikan peranan pemimpin barisan depan dalam masyarakat itu akan terus diperkasakan dan di pandang tinggi seluruh umat Islam,” katanya.