Halaman

11 April 2012

WWF gesa haramkan makan telur penyu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegiatan menjual dan memakan telur penyu yang masih berleluasa menimbulkan reaksi tidak senang pelbagai pihak khususnya Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia Cawangan Terengganu yang bimbang terhadap ancaman kepupusan haiwan reptilia itu.

Berikutan itu, WWF menggesa kerajaan meminda Akta Perikanan 1985 secepat mungkin bagi mengharamkan aktiviti memakan telur penyu di seluruh negara.

Ketua Program Pemuliharaan Penyu WWF Terengganu, Puan Rahayu Zulkifli, berkata sehingga kini telur penyu masih dijual secara berleluasa di negeri ini walaupun sedia maklum haiwan itu diancam kepupusan.

“Kita bimbang jika kerajaan lewat mengharamkannya, penyu akan mengalami kepupusan kerana jumlah pendaratan empat spesis penyu iaitu penyu belimbing, penyu karah, penyu agar dan penyu lipas di perairan pantai Terengganu semakin berkurangan.

"Setakat ini, hanya telur penyu belimbing sahaja sudah diharamkan, namun WWF mahu pengharaman memakan telur penyu ini meliputi semua spesis," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sehingga kini, telur penyu dikatakan masih boleh didapati dengan mudah terutama di Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi tumpuan pelancong.

Malah, ia menjadi bualan mulut di kalangan pelancong yang teringin merasai keenakan telur penyu itu supaya berkunjung ke Terengganu kerana ia boleh dibeli dengan mudah, berbanding Sabah atau Sarawak kerana kedua-dua negeri itu sudah mengharamkan penjualan dan memakan telur penyu.

Selain itu juga, Puan Rahayu turut meminta pihak berkuasa agama Islam supaya mencari nas atau dalil yang sahih untuk mengharamkan manusia memakan telur penyu dari pelbagai aspek.
Pada tahun lalu, Malaysia sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pengurusan dan pemuliharaan penyu rantau Lautan Hindi dan Asia Tenggara (IOSEA) yang bertujuan melindungi spesies terancam itu, tapi tiada tindakan susulan dilakukan.

WWF juga sudah menyerahkan memorandum yang mempunyai fakta kukuh mengenai betapa pentingnya pengharaman penjualan dan memakan telur penyu kepada kerajaan tahun lalu