Halaman

17 April 2012

Tasik Kenyir jadi tarikan pelaburan impak tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kelebihan, keunikan serta kesesuaian lokasi di Pulau Serindit, Tasik Kenyir berjaya menarik komitmen pelabur bagi projek berimpak tinggi bernilai RM545 juta untuk membangunkan akademi sukan yang dilengkapi pelbagai infrastruktur termasuk hotel dan chalet.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pelabur yang juga bekas jaguh badminton negara Soo Beng Kiang memilih pulau itu berikutan lokasinya jauh dari kesesakan bandar, selain dikelilingi panoramanya yang menarik mampu menyuntik keselesaan dan lebih tumpuan terhadap bidang sukan sekaligus merealisasikan hasrat melahirkan atlet pelapis negara.

“Pemilihan pulau itu juga akan menambahkan kerancakkan bagi membangunkan Tasik Kenyir sebagai pulau Zon Bebas Cukai negara dan pelbagai kemudahan perkedaian,” katanya di Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah Daerah Hulu Terengganu, di Dewan Akademi Binaan Malaysia, Wilayah Timur Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Adun Kuala Berang, Haji Zawawi Ismail.

Beliau berkata, perancangan membangunkan akademi bagi sukan badminton, skuasy dan tenis bermula pertengahan tahun ini itu juga bakal menjadikan Hulu Terengganu sebagai daerah yang menawarkan kemudahan hotel terbanyak di negeri ini.

Katanya, dalam tempoh sepuluh hingga 15 tahun lagi Tasik Kenyir akan muncul seperti destinasi pelancongan utama negara sebagaimana Langkawi dan Alor Setar.

"Selain badminton, akademi itu juga akan mengendalikan latihan untuk melatih pemain tenis dan skuasy. Malah, pemain badminton luar negara juga akan ke akademi ini apabila musim sejuk di negara mereka, " katanya.

Pelaburan membangunkan akademi sukan oleh Beng Kiang yang juga regu Cheah Soon Keat ketika memenangi Piala Thomas 1992 di pulau itu dilaksanakan menerusi pembiayaan pinjaman oleh sebuah agensi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank).

Projek di kawasan seluas 48.576 hektar itu bakal menjadi pusat latihan utama pelapis badminton negara, sekaligus dapat memartabatkan kembali arena badminton negara.