Halaman

20 April 2012

Sultan Mizan lancar ‘Bidong Underwater and Land Challenge’

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenaan melancarkan ‘Bidong Underwater and Land Challenge’ sempena Hari Bumi 2012 di Pulau Bidong, Setiu, semalam.



Ketibaan baginda turut diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahim Mohd. Said dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

Baginda turut meluangkan masa menyelam di sekitar perairan Pulau Bidong kira-kira sejam sebelum berangkat pulang pada pukul 2 petang.

Program anjuran Coral Malaysia dengan kerjasama UMT diadakan selama empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini melibatkan kira-kira 70 orang penyelam.

Pada program itu turut diadakan pertandingan fotografi yang menawarkan hadiah berjumlah sehingga RM20,500.

Sementara itu, Duta Coral Malaysia, Fauziah Latif dalam ucapannya berkata, program pertandingan fotografi dasar laut dan pulau peranginan ini diadakan sejak lima tahun lalu melibatkan perairan Terengganu merangkumi Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Pulau Redang.

Katanya, pemilihan pulau-pulau di Terengganu amat bertepatan apabila ia merupakan antara perairan tercantik di negara.

"Program ini bukan sahaja menjadi acara tahunan di negeri ini kerana ia bukan sekadar pertandingan malah telah mencipta satu 'foto bank' untuk industri pelancongan.

"Pertandingan ini juga akan menaikan imej Terengganu sebagai lokasi selam skuba terindah di dunia apabila foto terpilih akan dipamerkan Malaysia International Diving Exhibition (MIDE," katanya.