Halaman

17 April 2012

Subsidi mamogram untuk wanita

Oleh; Esah Abdullah

Golongan wanita di negeri ini diminta mengambil peluang menjalani ujian mamogram dalam Program Gempur Subsidi Mamogram Peringkat negeri yang akan berakhir Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr.A. Rahman Mokhtar berkata, kerajaan turut menawar insentif kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjaya menarik golongan wanita mengunjungi klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menjalani ujian berkenaan.

Katanya, insentif RM10 akan diberikan kepada NGO bagi setiap wanita yang dibawa untuk menjalani ujian mamogram di mana insentif ini sebagai menghargai usaha berjaya menarik orang ramai ke klinik.

“Kita berharap lebih ramai wanita mengunjungi klinik LPPKN untuk membuat ujian berkenaan kerana pengesanan awal boleh mengelak risiko lebih besar di kemudian hari,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN begitu komited memastikan seberapa ramai wanita mengambil peluang keemasan ini.

Sehubungan itu, usaha kerajaan memberi insentif kepada NGO itu mengambarkan kesungguhan untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita perlunya pencegahan awal kanser payudara dengan segera menjalani ujian mamogram.

Katanya, semua wanita berusia 40 ke atas perlu menjalani pemeriksaan dan pengesanan awal mampu menyelamat nyawa.