Halaman

17 April 2012

Senarai calon belum muktamad, jangan jadikan satu isu – Menteri Besar

Oleh FAUZI MOHD

Badan Perhubungan UMNO negeri mengingatkan ahlinya supaya tidak menjadikan cadangan senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 yang telah dikemukakan oleh setiap bahagian sebagai satu isu kerana ia akan merugikan parti.

Pengerusinya, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, mereka sebaliknya perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan UMNO untuk membuat keputusan dan menyokong sesiapa sahaja yang bakal dipilih tanpa sebarang masalah.

"Jangan pula senarai calon menjadi satu isu dengan mempertikaikan seperti mengapa bahagian ini hanya hantar senarai nama kumpulan ini sahaja.

"Itu hanya cadangan. Ada tapisan dan semakan selepas ini. Mungkin diterima atau sebaliknya. Keputusan muktamad di tangan Presiden UMNO (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan Empangan Kedua Tasik Kenyir oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu hari ini.

Menurut Dato’ Seri Ahmad, kesemua lapan bahagian UMNO sudah menghantar cadangan senarai calon yang terdiri daripada adunan muka baru dan lama untuk bertanding di kawasan masing-masing ke Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur dan salinannya kepada UMNO negeri.

Kata beliau, senarai calon yang telah disediakan oleh setiap bahagian adalah seimbang dengan membariskan pelbagai golongan yang diyakini boleh menang apabila bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negeri ini.

"Senarai calon itu merangkumi semua dan seimbang. Ada yang pernah dan tidak pernah bertanding, calon kitar semula pun ada. Selain itu ada calon Pemuda, muka baru dan muka lama pun ada.

"Kita serah kepada pucuk kepimpinan buat keputusan dan sebagai rakyat Terengganu, kita terima apa juga yang diputuskan. Yang paling penting, kita mahu menang," katanya.