Halaman

15 April 2012

Sedia tubuh sektretariat MPN

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bersetuju mewujudkan sekretariat Majlis Profesor Negara (MPN) bertujuan menyumbang idea, menyusun strategi dan mengatur tindakan bersama untuk kebaikan Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peluang ini cukup berharga bagi Terengganu kerana ia mampu memberi kebaikan pelbagai sudut bukan sahaja untuk negeri malah rakyat itu sendiri.

Katanya, setiap ahli MPN yang dianggap ‘Pemikir Negara’, sudah tentu boleh memberi cadangan bagaimana hendak menyelesaikan pelbagai masalah, terutama berkaitan pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi , kewangan, sumber asli dan alam sekitar.

“Apabila sektreariat ini benar-benar wujud nanti, ahli-ahlinya mungkin boleh berfikir atau mengatasi masalah bagaimana hendak buang bahan beracun dalam ubi gadong.

“Kita serius ingin mengetahuinya kerana tanaman itu berpotensi boleh dimajukan dengan menjadikan sebagai tepung ubi gadong,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan MPN di Wisma Darul Iman, hari ini.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri lain.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberitahu tidak mustahil suatu hari orang ramai memilih tepung ubi gadong untuk membuat kuih muih sebagai ganti tepung gandum jika apa yang dirancang hari ini menjadi kenyataan.

Kerajaan negeri yakin bahawa ubi gadong berpotensi menjadi produk makanan utama seperti gandum jika dihasilkan mengikut permintaan pasaran seperti kek, kerepek dan kuih muih lainnya.

“Saya yakin jika ada usaha ke arah mengkomersialkan ubi gadong dan dengan bantuan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) yang menjalankan penyelidikan mereka.

“kerajaan peruntukan RM1 juta kepada UnisZA untuk meneruskan kajian terhadap potensi tanaman tersebut selama dua tahun sebelum ia dipasarkan,” katanya.