Halaman

13 April 2012

Saya tidak akan masuk campur - MB

Oleh; Esah Abdullah

“Saya tidak akan masuk campur dalam isu penyokong bola sepak negeri ini yang bertindak menaikkan kain rentang di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kerana kecewa dengan kekalahan pasukan Terengganu di tangan Tampines Rovers, Singapura ,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, beliau bersuara sebagai peminat dan tidak berhajat untuk masuk campur dalam kemelut penyokong dengan pihak pengurusan bola sepak negeri ini bagi mengelakkan kemungkinan dikenakan tindakan pihak FAM.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian Selasa lalu di mana lebih 300 penyokong fanatik berkumpul di luar stadium sambil menaikkan kain rentang mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh meletak jawatan.

Katanya, selaku peminat bola sepak beliau juga berharapkan kemenangan pasukan dalam setiap perlawanan tapi adatlah pertandingan mesti ada kalah dan menang.

“Saya faham mereka kecewa, tapi berilah peluang pengurusan mencari formula baru untuk baiki kelemahan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di di Dewan Besar, Wisma Darul semalam.

Selasa lalu Terengganu tumpas 2-0 di laman sendiri dalam perlawanan keempat Piala AFC dan telah menimbulkan tidak puas hati segelintir penyokong fanatik.