Halaman

05 April 2012

Rangkaian 3G Clixster, Ameen dilancar Mei

Oleh FAUZI MOHD

Clixster, rangkaian mudah alih 3G terbaharu di negara ini dengan sistem perkhidmatan telekomunikasi pintar canggih berkonsepkan 'touch n go' akan dilancarkan Mei ini.

Talian Clixster yang disediakan syarikat Samata Communication mampu memberikan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan termasuk melancarkan pembayaran bil dan perbankan dengan hanya sentuhan telefon bimbit pada alat yang disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Samata Communication Sdn. Bhd., Noor Azlan Khamis berkata, setiap telefon bimbit akan dilengkapi pelekat serta kad SIM khas yang membolehkan pelanggan membuat pembayaran atas talian menggunakan platform 'New Field Communication' (NFC) yang menyerupai sistem ‘touch n go’.

Beliau memberitahu, penyediaan sistem terbaharu itu kelak akan menjadikan Clixster sebagai perintis di negara ini dalam teknologi tersebut, mengikuti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan rantau Eropah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Tanjung Clixster Mobile (TCM) dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Pada majlis MoU itu, YPU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik, manakala TCM diwakili oleh Pengerusinya, Rasli Ibrahim.

Perjanjian persefahaman itu membolehkan YPU mengenal pasti usahawan-usahawan tempatan untuk merebut peluang perniagaan sebagai penjual serta ejen telekomunikasi Clixster di negeri ini yang mampu menjana pendapatan mereka.

Menurut Noor Azlan, serentak dengan pelancaran Clixster, satu lagi servis baru iaitu Ameen turut diperkenalkan dan kedua-duanya menyediakan pelbagai keistimewaan untuk para pelanggan antaranya caj berpatutan, bil percuma untuk tiga bulan pertama serta kemudahan mengakses Internet.

"Clixster dan Ameen akan dilancarkan serentak pada Mei ini dan buat masa ini kita masih dalam proses percubaan. Clixster lebih tertumpu kepada golongan muda, manakala Ameen pula untuk pengguna muslim.

"Kemudahan ini juga memberi kesempatan kepada penggunanya merakam serta memuat turun khutbah atau ceramah agama di masjid lain walaupun tidak berada di masjid berkenaan ketika itu," ujarnya.

"Kita jangka, Clixster dan Ameen ini mula dilancarkan selepas Persidangan Angkasa ke-23 di Kuala Lumpur Mei ini," katanya.