Halaman

20 April 2012

Pulau Bidong destinasi eksklusif Tahun Melawat Terengganu 2013

Oleh FAUZI MOHD


Kerajaan negeri sedia membenarkan pelancong mengunjungi Pulau Bidong sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurut beliau, kunjungan pelancong ke Pulau Vietnam itu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk menjaga keindahan alam semula jadi pulau bersejarah itu.

Katanya, kerajaan negeri melalui Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan merangka satu mekanisme terbaik bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan.

"Kita akan kaji beberapa aspek antaranya had kedatangan pelancong setiap hari dan apakah bentuk program atau aktiviti yang ingin dilakukan di Pulau Bidong.


"Kita tidak mahu kecantikan pulau ini tercemar sekiranya dikunjungi terlalu ramai pengunjung pada satu-satu masa, namun tidak pula berhasrat menutup peluang kepada pengunjung yang ingin datang ke sini," katanya kepada pemberita di Pulau Bidong semalam.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Coral Malaysia untuk menjadikan pertandingan merakam gambar dasar laut dan terumbu karang di perairan Terengganu sebagai kalendar pelancongan negeri.