Halaman

09 April 2012

PPDNKK Terengganu lahir pengguna generasi baru

Oleh FAUZI MOHD

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan program kepenggunaan yang disasarkan kepada golongan muda terutamanya pelajar.

Pengarahnya, Ghazali Muhammad berkata, ia bagi mencapai matlamat mewujudkan kumpulan pengguna generasi baru yang bermaklumat, bijak dan bertanggungjawab dalam usaha mendidik mereka berkaitan kepentingan isu kepenggunaan.

Katanya, program berteraskan pendidikan itu tertumpu kepada tiga aspek utama yang mudah diaplikasikan iaitu perbelanjaan berhemah, pemakanan seimbang dan pemeliharaan alam sekitar.

"Buat masa ini topik kepenggunaan telah pun dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah menengah di bawah sukatan pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk tingkatan empat sahaja.

"Bagaimanapun pendidikan kepenggunaan mungkin tidak dipelajari secara mendalam melalui pendidikan formal tetapi ia banyak diketengahkan dalam pendidikan tidak formal seperti penganjuran cabaran interaktif seperti yang kita adakan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS 2012) Peringkat Negeri Terengganu di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, baru-baru ini.

Seramai 168 peserta daripada 42 buah sekolah seluruh negeri menyertai cabaran berbentuk eksplorasi minda itu selain turut diadakan pertandingan memasak, bengkel pemahaman modul kepenggunaan, pertandingan sudut pengguna serta pengurusan kewangan.

Pada cabaran itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Abang memenangi tempat pertama manakala Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit (naib johan) dan SMK Guntung (tempat ketiga) dengan masing-masing membawa pulang RM1,000, RM700 dan RM500.

Dalam pada itu, Ghazali menambah, pihaknya akan berusaha melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan bagi memastikan program yang dijalankan terus relevan dengan keadaan semasa dan mencapai sasaran yang diharapkan.

Jelas beliau, pendedahan tentang isu kepenggunaan yang efektif dapat menarik minat generasi muda mendekati dan memahami isu-isu berkaitan kepenggunaan.

"Justeru itu, melalui kaedah pertandingan yang lebih interaktif dan inovatif kita yakin dapat meningkatkan peratus kefahaman masyarakat tentang isu-isu kepenggunaan," katanya.