Halaman

10 April 2012

Penuntut IPT tidak harus jadi kuda politik

Oleh; Esah Abdullah

Penuntut yang berada di Pusat Pengajian Tinggi tidak harus menjadi ‘kuda’ politik kepada individu yang berada di luar kampus kerana jelas mereka mempunyai agenda tersirat.

Fenomena kebelakangan ini, ramai golongan politikal telah mempengaruhi penuntut melalui isu tertentu semata-mata untuk mendapat keuntungan politik.

Pemimpin pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Encik Mohd Ridzuan Mustafa berkata, perkara berkenaan semakin serius dan perlu ditangani segera agar ia tidak menjejaskan tumpuan pelajar.

“Mahasiswa harus menjadi suara yang memperbaiki dan bukannya merosakkan kesejahtera dalam sesebuah masyarakat dan negara ,” katanya dalam Forum Pentas Mahasiswa ‘Isu-Isu Semasa’ di Bukit Wan, Batu Rakit semalam.

Katanya, mahasiswa tidak harus terikut dengan suara dari luar yang ingin ambil kesempatan menggunakan golongan pelajar mendesak kerajaan berkait sesuatu isu seperti kes Adam Adli baru-baru ini.

“Isu penghapusan pinjaman PTPTN yang dibangkitkan pihak tertentu juga hanya merugikan mahasiswa sendiri terutama golongan Melayu yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

“Saya meminta rakan pelajar membuat timbangtara terhadap isu yang dibangkitkan terutama yang berkait dengan pelbagai tuntutan yang keterlaluan,” kata Fatimah Adilah.

Katanya, sebagai seorang terpelajar, gunakan kewarasan berfikir serta jangan mudah terpengaruh dengan suara-suara berbaur politik.

Penuntut tahun tiga UKM, Mohd Afik Amar juga melahirkan rasa malu terhadap tindakan segelintir rakan siswa yang sanggup dipergunakan pihak tertentu, menentang kerajaan yang membiayai pengajian mereka.

“Sikap itu amat ‘biadap’ kerana sanggup mengigit tangan yang menyuap nasi ke mulut kita dan tindakan sedemikian tidak ubah seperti kacang lupakan kulit,” katanya.

Forum anjuran Kelab Remaja Islam Terengganu (Krim) itu dibarisi ahli panel terdiri pemimpin pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Fatimah Adilah Abdul Ghani dan Mohd Afik Amar Tulus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Pengerusi Krim, Encik Nohd Hanif Abdullah bertindak selaku modirator.