Halaman

16 April 2012

Pelajar UK tertarik permainan tradisional

Oleh; Esah Abdullah



Permainan tradisional seperti gasing dan congkak yang terus dihidupkan sejak zaman berzaman mendapat perhatian pelancong dari dalam dan luar negara termasuk sembilan pelajar dari United Kingdom (UK) yang berkunjung ke Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

Ketua Projek, Dr Allan Turnbull menyatakan keterujaan berpeluang menyaksikan keunikan permainan gasing pangkah serta permainan congkak yang ditunjukkan penduduk kampung.



“Saya amat berbesar hati di atas kemesraan penduduk kampung yang menyambut kunjungan kami dengan paluan kompang dan perarakan bunga mangga,” katanya ketika ucapan balas di Dewan KRT Bukit Wan.

Rombongan terdiri dari pelajar Universiti UK itu adalah dalam rangka lawatan seminggu ke Malaysia dan tiga hari berada di Terengganu untuk meninjau budaya kehidupan masyarakat kampung serta permainan tradisional yang menjadi kebanggaan rakyat tempatan.

Menurut Dr Allan, selepas ini rombongannya akan mengunjungi perkampungan nelayan di Penarik, Setiu untuk menyelami rutin kehidupan keluarga nelayan di negeri ini.

“Saya amat berterima kasih kepada semua penduduk yang menerima baik kungjungi kami serta disajikan dengan makanan kampung yang sangat sedap,” katanya.

Ketua pelajar, Encik Andrew Shuite pula menyatakan keseronokan berada di negeri ini yang aman dan penduduknya yang peramah.

“Walau pun hanya sehari berada di sini ,saya rasa sangat seronok melihat masyarakatnya yang saling bekerjasama antara satu sama lain dan berharap dapat datang lagi ke sini,” katanya.