Halaman

15 April 2012

Pas, PKR terus rebut kerusi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Belum pun Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus bercakaran sesama sendiri – berebut kerusi Parlimen dan DUN.

Sebelum ini, PKR mengumumkan akan bertanding 14 kerusi di negeri Terengganu iaitu tiga kerusi Parlimen dan DUN (11 kerusi) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Bagaimanapun, parti itu dihentam teruk oleh pemimpin Pas yang berpendapat angka tersebut terlalu besar dan PKR tidak layak mendapat apa yang mereka hajati.

Terbaru, Ahli Jawatankuasa Pas Terengganu, Dato’ Haji Abu Bakar Chik, menempelak PKR apabila mengumumkan PKR hanya layak bertanding tujuh kerusi sahaja di Terengganu iaitu dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN.

Beliau berkata, kelayakan itu dibuat berdasarkan kedudukan PKR sebagai kategori ketiga saja di Terengganu yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu.

Disebabkan keadaan itu, Abu Bakar berpendapat Pas lebih layak menguruskan soal pembahagian calon di negeri ini dan PKR sebagai parti komponen dalam Pakatan Rakyat, perlu akur dengan cadangan yang dibuat pemimpin parti itu.

Kecewa dengan kenyataan pemimpin Pas itu, Pengerusi PKR Negeri Terengganu, Azman Ismail, berkata pihaknya menerima saja segala percaturan yang bakal dilakukan pemimpin Pas berhubung pembahagian kerusi di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat melakukan apa-apa lagi selepas Pas menganggap PKR sebagai pengemis dan mereka hanya menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Pas.

Begitulah senario yang sedang berlaku antara Pas dan PKR dan keadaan ini dijangka lebih ‘panas’ apabila satu lagi parti dalan PR iaitu DAP masuk campur dalam menentukan pembahagian kerusi di Terengganu.

Boleh dikatalan setiap kali berlaku pilihan raya umum, parti-parti pembangkang akan bercakaran seesama mereka kerana berebut kerusi, baik Parlimen mahu pun DUN.

Perbalahan ini berlaku kerana timbulnya perasaan curiga dan syaka wasangka setiap parti yang berada dalam PR. Mereka tidak mempercayai antara satu sama lain dan keadaan ini bakal menecetuskan perbalahan sesama sendiri pada bila-bila masa saja.

Masalah ini tidak berlaku dalam Barisan Nasional (BN) di mana pembahagian kerusi Parlimen dan DUN dilakukan secara tertib dan harmoni.

Dengan semangat muafakat yang sedia ada dalam setiap parti komponen BN di mana rakyat dan pengundi di sesebuah kawasan diutamakan, semua parti komponen BN menerima keputusan meletakkan calon atas semangat setiakawan seperti yang diputuskan pucuk pimpinan BN.

Itulah beza antara BN dan gabungan parti pembangkang yang sentiasa tamak dan bercakaran sesama mereka walaupun berada dalam pakatan.