Halaman

07 April 2012

Pas pelopor solat Jumaat berasingan

Oleh: Cicit Laksamana

Isu solat Jumaat berasingan dalam satu kariah yang berlaku di Terengganu dan berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu, masih belum selesai berikutan kedegilan penyokong Pas untuk meneruskan kegiatan tersebut walaupun ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Walaupun masalah itu sudah berkurangan berbanding pada tahun 80-an, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan 11 masjid di negeri ini yang tidak diiktiraf pihak berwajib, masih menganjurkan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah.

Pemimpin dan penyokong Pas sepatutnya menghayati Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." Surah an-Nisaa':59.

Malangnya kedegilan pemimpin dan penyokong Pas yang menjadi penyebab isu solat Jumaat berasingan dalam satu kariah sukar diselesaikan di Terengganu, menyebabkan ianya semakin parah apabila masalah itu dilaporkan menular ke negeri Selangor yang kini dikuasai pakatan parti pembangkang.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Masjid Seksyen 27 Shah Alam dan ia mengecewakan umat Islam serta memperlihatkan belang sebenar Pas Selangor yang sanggup ‘menjual’ agama demi kepentingan politik.

Masalah ini secara jelas memperlihatkan sikap, sifat dan ideologi pemimpin Pas yang korup, tidak bertamadun dan bertentangan dengan Islam sendiri.

Mereka sanggup menghasut ahli-ahli Pas dan penyokong parti itu melakukan pelbagai kegiatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuk mengadakan solat Jumaat secara berasingan.

Sepatutnya masyarakat Islam sedar walau siapa pun imam yang dilantik pihak berkuasa agama Islam, para makmum dan ahli kariah hendaklah menerima perlantikan tersebut dengan hati terbuka; selagi imam yang dilantik tidak boleh dipertikaikan kelayakannya sama ada dari segi bacaan mahu pun keperibadian dan kelimuannya.

Di Terengganu, masih ada iman masjid terdiri daripada orang Pas atau mereka yang tidak berparti, tetapi pihak yang berwajib khususnya JHEAT, tidak mengambil tindakan memecat mereka.

Ini kerana selagi mereka yang dilantik menjadi imam tidak melanggar peraturan agama Islam yang ditetapkan oleh Ulil Amri dan mereka diterima oleh ahli kariah, maka tidak ada sebab untuk JHEAT mengambil tindakan.

Ciri penting dalam peradaban Islam ialah kepatuhan kepada Ulil Amri selagi pemerintah tersebut tidak menyuruh kita melakukan perkara mungkar dan menghalang umat Islam melakukan ibadat.

Justeru dalam kes solat Jumaat secara berasingan ini, tidak ada sebarang alasan yang boleh merasionalkan tindakan penyokong Pas memboikot imam yang dilantik oleh JHEAT mahu pun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengadakan solat Jumaat kedua di masjid yang tidak diiktiraf pihak berwajib.

Majoriti penduduk negara ini bukanlah manusia yang bodoh atau boleh diperbodohkan dengan mempergunakan agama dan imej Islam semata-mata.

Tenyata pemimpin Pas cuba mempergunakan perlantikan imam oleh pihak berwajib sebagai satu agenda politik mereka.

Apa yang hebat sangat orang-orang Pas berebut menjadi imam hinggakan mereka berani memecah belahkan masjid dengan mengadakan solat Jumaat secara berasingan?

Ini semua agenda politik Pas semata-mata untuk memecah-belahkan umat Islam bagi mencapai impian mereka menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagi mereka yang melakukan solat Jumaat secara berasingan perlulah bertaubat sebelum terlambat.

Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang meninggalkan ketaatan kepada (pemerintah Islam) dan meninggalkan jamaah (keluar dari mentaati pemerintah), kemudian ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyah." - Ibn Taimiyah.

Pas selalu menggunakan alasan bahawa imam yang mereka suka sebagai diterima oleh ahli kariah, tetapi ia tidak pernah dibuktikan secara fakta dan statistik.

Sebaliknya selalu kita lihat golongan yang menolak imam yang dilantik dan mengerjakan solat berasingan merupakan golongan minoriti dan kadang-kadang diimpot dari luar bagi meramaikan jumlah mereka.

Dalam hal ini, kita patut bersyukur dengan tindakan JHEAT yang tidak jemu-jemu menangani isu solat Jumaat secara berasingan.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd. Rozali Salleh berkata, kebanyakan masjid tersebut terletak di Besut dan Marang di mana pihaknya sentiasa memantau perkembangan tesebut.

Beliau berkata, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan yang masih menganjurkan solat Jumaat secara berasingan sudah menurun berbanding 23 buah sebelum ini.
"JHEAT telah membuat pemantauan dan akan menyerahkan laporan lengkap kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk tindakan lanjut.

"Sebuah jawatankuasa kecil akan ditubuhkan bagi memperhalusi perkara itu sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya.
Isu tersebut turut mendapat perhatian Sultan Mizan Zainal Abidin baru-baru ini yang turut melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Haji Mohd. Rozali berkata, senario itu dikesan berlaku sejak sekian lama berikutan wujud pihak tertentu cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan.

"Ada juga segelintir penduduk bertindak luar jangkaan dengan tidur di bawah jengkaut bagi menghalang tindakan kita," katanya.

Beliau juga berharap supaya tiada mana-mana pihak yang mencampuri urusan pentadbiran di masjid-masjid di negeri ini dengan politik atau kepartian.