Halaman

16 April 2012

MPK pindah 1.6 juta dokumen ke format digital

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 1.6 juta pelbagai dokumen dan 12,000 pelan milik Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang dipindahkan ke format digital oleh Percetakan Nasional Malaysia Bhd (PNMB) akan siap menjelang Jun nanti.

Yang Dipertuanya, Haji Mustafa Khalid berkata, pihaknya telah mendapatkan khidmat pengurusan dan pengimejan PNMB untuk menukarkan dokumen kepada format digital sejak Februari lalu yang boleh disimpan dan dirujuk dengan mudah.

“Menerusi cara berkenaan produktiviti MPK juga boleh ditingkatkan selain dokumen yang ada boleh disimpan dalam keadaan terjamin dan selamat,” katanya.

Katanya, projek ini menelan belanja agak tinggi iaitu RM500,000 namun untuk jangka masa panjang ia akan menguntungkan.

Sehubungan itu, MPK merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menggunakan khidmat pengimejan yang ditawarkan PNMB dalam usaha meningkatkan perkhidmatannya.

Selain percetakan am dan pengimejan dokumen, PNMB turut menyediakan khidmat cetakan data boleh ubah, cetakan keselamatan, khidmat penyelesaian keselamatan bersepadu, warta, portal perundangan dan bekalan kertas A4.

Dalam pada itu, seramai 120 peserta dari PBT seluruh Terengganu termasuk MPK menyertai seminar bertajuk Perkhidmatan Mengatasi Percetakan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kelebihan cetakan digital jangka pendek, pengimejan dokumen dan cetakan keselamatan yang dikendalikan PNMB.