Halaman

20 April 2012

Memorandum persefahaman (MoU) operasi Haji dan Umrah capai kejayaan.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines bakal mengadakan penerbangan Haji dan Umrah terus ke Jeddah dan Madinah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) mulai tahun ini.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said berkata hasil usaha selama beberapa tahun, akhirnya kerajaan negeri berjaya mendapatkan penerbangan terus dari LTSM ke Tanah Suci.

Kejayaan itu dicapai hasil memorandum persefahaman (MoU) operasi Haji dan Umrah yang dimeterai antara kerajaan negeri dengan Saudi Arabian Airlines di sini petang semalam (Khamis 19 April).

"Kita hendak memudahkan jemaah kita untuk mengerjakan Umrah dan Haji dan pada masa yang sama meletakkan Terengganu sebagai Hab Umrah dan Haji Pantai Timur," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama tersebut.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Pegawai Kewangan Negeri Datuk Abdul Razak Ismail manakala Saudi Arabian Airlines diwakili Pengurus Jualan Haji Umrahnya, Sammer Khayyat.