Halaman

14 April 2012

Lebih ramai rakyat Terengganu dapat ‘duit raya’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sambutan Aidilfitri tahun ini pasti lebih meriah kerana makin ramai rakyat Terengganu bakal mendapat ‘duit raya’ daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri ini.

Tahun lalu, semua ketua keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah diberi Dana Raya, kira-kira dua minggu sebelum umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Kerajaan negeri membelanjakan RM59 juta bagi memberi bantuan kepada 165,000 keluarga yang berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka membeli keperluan menyambut hari lebaran, tanpa mengira fahaman politik.

Bagaimanapun, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam mesyuarat Exco minggu ini telah memutuskan untuk menaikkan had kelayakan keluarga yang layak menerima bantuan berkenaan.

Sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat, kadar had kelayakan pendapatan bulanan ketua keluarga yang menerima bantuan itu dinaikkan kepada RM2,000 supaya lebih ramai rakyat layak menerima bantuan tersebut.

Dengan kadar baru itu, bermakna ketua isi rumah yang berpendapatn RM2,000 ke bawah layak menerima bantuan menyambut Aidilfitri yang disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan berpendapatn rendah membuat persiapan menyambut lebaran.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, keputusan menaikkan kadar kelayakan tersebut dilakukan selaras dengan kelayakan penerima BRIM Kerajaan Pusat iaitu RM3,000 ke bawah.

Borang-borang bagi memohon bantuan berkenaan akan mula diedar kepada orang ramai pada akhir bulan ini atau selewat-lewatnya awal Mei depan.

Dengan kenaikan had kelayakan bagi bantuan tersebut, kerajaan negeri dijangka menyediakan peruntukan tambahan antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi membiayai program cakna rakyat itu.

Itulah gambaran keperihatinan Kerajaan BN Terengganu membela nasib rakyat selaras dengan moto ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diamalkan sejak empat tahun lalu.

Tentunya sebagai balasan kerajaan amat menghargai jika rakyat berterima kasih kepada pemimpin BN yang sentiasa memikirkan kaedah untuk membela nasib mereka.