Halaman

25 April 2012

Kerajaan tidak zalim kepada rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan tidak pernah menzalimi rakyat dalam isu pengambilan balik tanah di mana bayaran pampasan dibuat berdasarkan peraturan di samping sedia tapak baru kepada mereka untuk diduduki.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, apa yang berlaku terhadap 22 keluarga di Kampung Banggol Donas, Kuala Nerus adalah pilihan mereka sendiri.

“Kerajaan tawar pampasan dan tapak rumah sebagai ganti tapi kesemuanya mereka tolak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ketiga hari ini.

Katanya, pengambilan balik tanah berlaku membabitkan jalan pintas daripada Banggol Tuan Muda ke Gemuruh dan hanya 22 keluarga menolak apa yang kerajaan tawarkan.

“Penyokong kerajaan di kawasan ini telah menerima pampasan dan tapak rumah yang disediakan dan sebahagiannya telah pun membina rumah dan berpindah ke tapak baru berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan prihatin terhadap apa yang berlaku dan sedia berbincang bagaimanapun, penduduk terlibat yang menolak permintaan.

“Saya minta jasa baik sahabat saya (pemimpin pembangkang) dapat memujuk mereka ini untuk menerima pampasan dan tapak rumah yang kerajaan sediakan untuk mereka,” katanya.

Katanya, kerajaan bayar pampasan mengikut undang-undang pengambilan tanah dan jika mereka tidak berpuas hati dengan nilaian yang diterima mereka ada hak untuk membawanya ke mahkamah.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga mencabar pemimpin pembangkang supaya bersumpah bahawa rumah yang dirobohkan di Kampung Bujal, Kemaman bukan sebuah masjid seperti yang didakwa.

“Saya berani bersumpah bahawa itu bukan sebuah masjid tetapi tidak lebih daripada sebuah rumah yang dibina pembangkang dengan mengajak pengikutnya menunaikan solat di situ dan masjid sebenar ada di kawasan berdekatan,” katanya.

Menteri Besar juga turut meminta para pemimpin pembangkang mentarbiahkan diri dan pengikutnya terlebih dahulu sebelum mentarbiahkan orang lain.