Halaman

11 April 2012

Kemas bentuk sahsiah kanak-kanak

Oleh: Suriati Ali

Tugas mendidik generasi kecil diperingkat tadika menjadi sebahagian tanggungjawab anggota di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam membentuk sahsiah dan keperibadian kanak-kanak.

Pengarah Kemas, Puan Nor Hazelina Hashim, berkata tidak terbatas mendidik kanak-kanak tetapi turut membantu menyampaikan inspirasi kerajaan kepada masyarakat di kampung-kampung.

Katanya, pada masa sama, Kemas Terengganu memberi penekanan khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak di mana pelbagai usaha dilaksanakan semata-mata ingin memperkasakan pendidikan pra sekolah baik dari segi silibus pengajaran, pembelajaran, aspek fizikal dan guru berkemahiran.

“Masyarakat di Terengganu, terutama ibu bapa sewajarnya tidak perlu bimbang dan mempunyai perasaan ragu-ragu untuk menghantar anak-anak masing-masing ke tabika Kemas kerana tabika itu menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Selain itu, program untuk meningkatkan kemahiran tenaga pengajar turut diwujudkan bagi memastikan mereka berkemahiran, berpengetahuan dan mampu berkhidmat dengan sebaik mungkin melalui program Kursus Dalam Cuti di institut-institut perguruan,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, sehingga kini, Kemas merupakan salah satu jabatan yang berperanan dalam melahirkan modal insan berkualiti khususnya melalui tabika kerana pengajaran dan pembelajarannya menggalakkan perkembangan sosial, emosi, intelek dan fizikal di samping menyediakan asas yang kukuh kepada kanak-kanak sebelum pendidikan formal di sekolah rendah.

“Taraf pendidikan guru tabika yang memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut dinaiktaraf kepada Diploma Bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Pada tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan enam teras bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan salah satu daripada teras tersebut adalah meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan,” katanya.