Halaman

18 April 2012

Jentera parti perlu kerah tenaga bantu BN

Oleh: Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) menaruh harapan kepada semua jentera terutama pasukan Jalinan Rakyat atau Jentera wanita bagi membantu parti itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Pengerusi BN negeri, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata keyakinan ini berdasarkan gerak kerja yang dilakukan tanpa jemu sejak dulu.

Katanya, jentera wanita sejak dulu memang tidak pernah menghampakan parti, sedia dikerah dalam apa juga situasi dan keadaan,” katanya.

“Sejak kebelakangan ini ramai pengundi di kawasan yang dikuasai pembangkang sudah mula sedar bahawa pemimpin pembangkang tidak mampu membantu mereka dalam segala segi.

“Saya meminta semua pihak memerah tenaga untuk memenangkan parti serta jangan jadikan calon sebagai isu malah terimalah sesiapa saja yang dipilih pucuk pimpinan tertinggi parti kerana yang penting BN perlu menjadi pentadbir negeri dan negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan BN sudah beri macam-macam bantuan dan sumbangan kepada pelajar, orang miskin, warga emas dan orang muda melalui dana remaja.

”Saya harap orang Kuala Terengganu dapat beri undi mereka kepada BN dalam pilihan raya akan datang. Sejak BN mentadbir negeri Terengganu, dapat dilihat hidup rakyat semakin selesa,” katanya.

“Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat berkuasa. Selepas itu, nasib rakyat tidak akan dibela,” katanya.