Halaman

29 April 2012

Hospital Besut dinaiktaraf kepada Hospital Berpakar


Oleh: Mohammad Ishak

Selaras dengan kehendak penduduk daerah Besut yang mahu Hospital Besut (HB) yang ada sekarang dinaik taraf kepada Hospital Berpakar,pihak Kerajaan Negeri mengamhbil perhatian berat terhadap permintaan berkenaan.

Hospital Besut sebuah hospital daerah tanpa pakar yang beroperasi pada Oktober 1975 dengan kapasiti 124 katil kini ditingkatkan kepada 140 katil bagi menampung keperluan pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Yang Berhormat Dr A Rahman Mokhtar berkata, usaha menaik taraf HB perlu dilakukan oleh kerajaan berikutan pertambahan penduduk dan keperluan kesihatan yang bermutu untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Katanya, masalah kekurangan kemudahan peralatan dan doktor di HB sering dibangkitkan penduduk daerah itu terutama dalam forum politik dan memerlukan tindakan serta pertimbangan segera kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan.

Menurutnya,Jabatan Kesihatan Terengganu juga sudah mengemukakan cadangan kepada kementerian berkenaan untuk menjadikan HB kepada Hospital Berpakar berdasarkan keperluan kepakaran yang meningkat.

Dr A Rahman yang juga ADUN Kuala Besut berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Kesihatan,Datuk Seri Liow Tiong Lai pada majlis perasmian Karnival Kesihatan 1 Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di perkarangan Hospital Besut, semalam.

Katanya, kerajaan sudah mengenal pasti kawasan seluas 14 ekar berhampiran hospital sedia ada untuk diambil alih bagi pembangunan Hospital Berpakar bagi kemudahan kesihatan penduduk daerah Besut.

“Dengan adanya tambahan kemudahan seperti Hospital Berpakar dan Klinik Kesihatan,masyarakat yang tinggal berdekatan dapat menikmati kemudahan berkenaan tanpa bersusah payah ke Hospital Pakar yang terletak di Kuala Terengganu,” katanya.