Halaman

20 April 2012

Guna segala kepakaran dan pengalaman mantapkan UMT

Oleh; Esah Abdullah


Prof. Dato' Dr. Ibrahim Komoo di iringi oleh Kepten Prof. Madya Hj. Zainal Ashirin PSSTLDM, Timbalan Komandan PALAPES (L) UMT periksa baris PAsukan Badan Beruniform Pelajar-Pelajar UMT.

Dato’ Prof Dr Ibrahim Komoo yang baharu dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berazam menggunakan semua kepakaran beliau untuk menerajui universiti itu supaya terus unggul di pentas akademik negara.

Sebagai permulaan satu perjumpaan diadakan dengan ahli akademik, pelajar dan petugas di bahagian pengurusan serta pentadbiran bagi membolehkannya mengenal pasti cabaran serta peluang yang dihadapi warga universiti berkenaan.


Penyerahan tugas Prof. Dato' Dr. Aziz Deraman (kiri) & Prof. Dato'Dr. Ibrahim Komoo.

Pengalaman sebagai ahli akademik yang banyak terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa akan disalurkan untuk memantapkan lagi UMT sebagai sebuah instiutsi pengajian tinggi yang digeruni.

Sehubungan itu katanya, sokongan semua warga universiti untuk sama-sama berganding bahu mencapai matlamat universiti amat diperlukan.

"Saya memegang prinsip bekerjasama dengan semua orang sebagai satu pasukan, saling mempercayai dan komited dalam menentukan hala tuju UMT sebagai insitusi pendidikan terulung di negara," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugasnya di UMT petang semalam.

Dato’ Prof Dr. Ibrahim memulakan tugas semalam menggantikan Naib Canselor UMT sebelum ini Dato’ Prof Dr Aziz Deraman yang tamat perkhidmatannya pada 12 April lalu.

Pelantikan Naib Canselor baharu itu adalah untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa mulai 13 April 2012 hingga 12 April 2015.


Simbolik kad perakam waktu kelihatan TNC (Akademik & Antarabangsa) Prof. Dr Noor Azhar (kanan) & Timbalan Pendaftar En. Mohd Noor, Shukri Abd. Rahman (tengah).

Dari segi pencapaian akademiknya, Ibrahim pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), dan Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (Seadpri) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini.

Ketokohan beliau menyerlah apabila dilantik sebagai Ahli Biro dan Pakar Antarabangsa oleh Global Geopark Network anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Beliau berkata, sebagai orang baharu di UMT, kerjasama daripada semua warga universiti penting bagi mengetahui lebih dekat sebelum melakasanakan strategi pengurusan yang sesuai.

Terdahulu daripada itu, beliau mendengar taklimat mengenai sejarah dan pembangunan UMT sejak penubuhannya sehingga kini.