Halaman

19 April 2012

Dato' Prof Dr Ibrahim Naib Canselor UMT yang baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Dato’ Prof Dr Ibrahim Komoo memulakan tugas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tempoh tiga tahun yang berkuatkuasa 13 April lalu.

Beliau yang juga Pengarah Pengasas, Institut Kajian Bencana Asia Tenggara , Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM) menggantikan Dato’ Prof Dr Aziz Deraman yang tamat perkhidmatannya pada 12 April lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan bekas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM itu berasaskan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh kementerian dan pengalaman akademiknya sebagai Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) dan SEADPRI-UKM.

"Beliau juga menyandang Ketua Kluster Alam Sekitar dan Sumber Asli, Majlis Profesor Negara (MPN) dan ahli Majlis Akademi Sains Malaysia.

"Malah, Dato’ Prof Dr Ibrahim merupakan pakar yang terkenal dalam bidang alam sekitar dan sumber asli di Malaysia dan antarabangsa khususnya dalam usaha mempelopori gagasan pemuliharaan sumber asli secara integrasi dan syumul,’’ katanya.