Halaman

18 April 2012

Cabar Pas biayai sembilan pelajar-MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini mencabar pemimpin Pas supaya membiayai pengajian sembilan pelajar yang dikenakan tindakan penarikan balik pinjaman oleh Yayasan Terengganu (YT).

Katanya, mereka yang bertanggung jawab menghasut pelajar-pelajar ini supaya menentang kerajaan, jadi sekarang mereka (Pas dan PKR) perlu mengambil alih membiayai pengajian pelajar berkenaan di Mesir.

“Pas dan PKR bolehlah kongsi separuh sorang tanggung mereka belajar hingga habis,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai demontrasi bantahan yang didalangi pihak pembangkang yang diadakan di perkarangan bangunan Yayasan Terengganu dan Wisma Darul Iman hari ini.

Baru-baru ini kerajaan bertegas menarik balik pinjaman sembilan pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir walaupun ada pihak menghantar memorandum supaya tindakan itu dibatalkan.

Tindakan itu dilakukan selepas tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta pelajar di negeri ini tidak membabitkan diri dalam demontrasi bantahan anjuran pihak pembangkang.

“Saya harap pelajar di negeri ini tidak mengadaikan masa depan mereka semata-mata terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkang sebaliknya beri tumpuan kepada pelajaran untuk membina masa depan yang gemilang,” katanya.