Halaman

21 March 2012

Tidak pamer logo Halal 1 Julai berdepan tindakan

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memastikan semua pengusaha di negeri ini mematuhi arahan agar mempamerkan sijil dan logo halal di premis masing-masing mulai 1 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Muhammad Ramli Nuh berkata, pihaknya juga akan memastikan penggunaan sijil serta logo halal itu diselaraskan mengikut ketetapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sehubungan itu, beliau mahu setiap pengusaha memberi perhatian serius berhubung arahan penguatkuasaan sijil dan logo halal tersebut demi kepentingan semua pihak khususnya pelanggan beragama Islam.

Menurutnya, jika gagal, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pengusaha yang degil dan mereka bakal berdepan denda di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah dan Takzir 2003 kerana melakukan kesalahan dan penyelewengan agama.

"Kita akan adakan penguatkuasaan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah dan Takzir 2003, sekiranya gagal mematuhinya, mereka (pengusaha) akan dikenakan tindakan.

"Logo halal ini melibatkan segala pengurusan di premis berkenaan termasuk soal kebersihan, penyembelihan dan sebagainya bagi menyakinkan umat Islam selain pelancong dan pengunjung lain," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Seminar Pemantapan Pengurusan Komuniti 1Malaysia Negeri Terengganu baru-baru ini.

Seminar dua hari itu adalah anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Muhamad Ramli diminta mengulas tindakan tegas termasuk penjara dan denda yang akan dikenakan Jakim ke atas mana-mana pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal bermula 1 Julai.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan di seluruh negara selain mengadakan operasi di setiap premis mulai 31 Mac ini.