Halaman

19 March 2012

Teruja minum teh bersama Sultan Terengganu

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi
Gambar oleh Nurul Aziela Saberi

Majlis santapan teh bersama rakyat membuka ruang kepada seluruh warga Kemaman untuk bersalaman dan berjumpa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah.

Lebih kurang 1,000 rakyat dari daerah ini telah mengambil peluang dan tidak ketinggalan untuk menghadiri majlis jamuan teh yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Wan Adnan, Kerteh, Azman Mohamad, 47, berkata, kehadiran baginda pada majlis jamuan teh amat bermakna buat rakyat jelata kerana julung kali dapat menatap wajah Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah dari dekat.

Encik Azman hadir bersama isterinya, Rohani Abu Bakar, 45, serta lapan lagi ahli jawatankuasa JKKK Taman Wan Adnan dengan menaiki tiga buah kereta. Baginya, majlis santapan teh sedemikian menjadi salah satu cara terbaik untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat jelata.
“Sebaiknya program sebegini diadakan lebih kerap kerana rakyat sebenarnya sentiasa teruja untuk berdamping dengan pemimpin,” katanya.

Sementara itu, Kamariah Mohd Jusoh, 52, dari Kampung Telaga Papan, Kerteh juga mengakui kali pertama dapat bersua muka dari dekat dengan Sultan Terengganu dan berasa sangat teruja serta gembira kerana baginda tidak lekang dengan senyuman.

Majlis santapan berkenaan dihiburkan dengan iringan persembahan nyanyian sebelum baginda berdua berangkat pulang dan menamatkan lawatan selama dua hari ke daerah Kemaman.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.

Pada tengah hari sebelum menunaikan Solat Jumaat, Sultan Mizan turut menyempurnakan perasmian Masjid Kampung Bukit Kuang dan menamakan masjid tersebut sebagai Masjid Ar-Rahman sempena mengambil salah satu nama Tuhan.

Masjid tersebut yang dibina pada tahun 1996 dengan kos kira-kira RM3 juta di atas tapak seluas empat hektar di Kampung Bukit Kuang siap sepenuhnya tahun 1999 dan boleh menampung seramai 1,500 jemaah dalam satu-satu masa.