Halaman

10 March 2012

Terengganu lokasi pilihan sukan ekstrim pacuan empat roda

Oleh: Aida Abd Rahman

Bentuk geografi Terengganu menjadi lokasi pilihan utama negara ini bagi penganjuran sukan ekstrim yang melibatkan kenderaan pacuan empat roda.



Terbaru, Terengganu Starhill 4x4 Challenge yang dianjurkan buat kali kesembilan berlangsung di pinggiran Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu sepanjang empat hari bermula semalam.

Seramai 140 peserta termasuk enam peserta luar negara mengharungi cabaran acara berhalangan yang dilepaskan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini.



Menteri Besar berkata, acara yang diasaskan oleh Kelab Kembara Geduut 4x4 dari Besut itu pada mulanya hanya bergerak aktif peringkat daerah, bagaimanapun kini mula berkembang ke peringkat negeri serta kebangsaan.

“Terengganu menjadi destinasi utama pilihan penganjur bagi sukan ekstrim pacuan empat roda yang mengisi kalendar pelancongan negeri.



“Selain Terengganu Starhill 4x4 Challenge, sukan motocross, 4X4 Rainforest Challenge International, Kejohanan Drive Ride (DR) 4X4 Ranggok Antarabangsa 2012 di Kampung Gong Cempedak, Marang juga antara acara lasak yang memilih Terengganu selaku tuan rumah,” katanya ketika siding media sejurus acara pelepasan Terengganu Starhill 4x4 Challenge.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran sukan lasak itu di peringkat nasional mahupun antarabangsa bagi menarik kunjungan pelancong ke negeri ini dan merealisasikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.



Beliau berkata, usaha menarik pelancong bukan sahaja tertumpu kepada TMT 2013 sahaja, tetapi perlu dilaksanakan setiap tahun khususnya dengan mempelbagai produk dan acara yang dapat menarik penyertaan negara asing.