Halaman

07 March 2012

Terengganu atasi pencapaian STPM nasional

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mengatasi pencapaian kebangsaan sebanyak 1.38 peratus dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011, yang diumumkan serentak seluruh negara hari ini.

Daripada keseluruhan 2,810 calon yang menduduki peperiksaan itu seluruh Terengganu pada tahun lalu, seramai 2,679 orang atau 95.34 peratus mendapat lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil berbanding peratusan kebangsaan 93.96 peratus.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin, berkata Terengganu turut mengatasi peratusan kebangsaan sebanyak 0.38 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 99.4 peratus berbanding peratusan kebangsaan (99.05 peratus).

“Daripada 2,679 calon yang mendapat lulus penuh, 205 (7.3 peratus) lulus penuh lima mata pelajaran, 40.36 peratus (1,134 orang) lagi lulus penuh empat mata pelajaran, diikuti 23.42 peratus (658 orang) lulus penuh tiga mata pelajaran dan 15.02 peratus atau 422 orang lulus penuh dua mata pelajaran.

“Baki 9.25 peratus atau 260 orang calon lagi lulus penuh satu mata pelajaran. Manakala 1,062 calon (37.8 peratus) memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 2.66,” katanya ketika sidang media pengumuman keputusan STPM di Jabatan
Pelajaran Negeri Terengganu, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Gred Purata Sekolah (GPS) bagi negeri ialah 2.33, manakala sekolah cemerlang berdasarkan pencapaian GPS melebihi 2.60 adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Jerteh (2.91); SMK Agama Durian Guling, Marang (2.85); SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu (2.81); SMK Tengku Mahmud, Besut (2.76); SMK ketengah Jaya, Dungun (2.75) dan SMK Nasiruddin Shah, Besut (2.73).

Lain-lain sekolah yang cemerlang adalah Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut (2.64), SMK Seri Berang, Hulu Terengganu (2.62) dan SMKA Nurul Ittifaq, Besut (2.61).

Beliau berkata, sebanyak 12 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus iaitu SMK Bukit Besar; SMK Sultan Ahmad, SMK Chung Hwa Wei Sin, SMA (A) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu; SMA Tengku Mahmud Besut, SMA Maarif, SMK Nasiruddin Shah, SMK Putra, Besut; SMK Bukit Nenas, Setiu; SMK Merchang, Marang; SMK Ketengah Jaya, Dungun dan SMK Landas, Hulu Terengganu.