Halaman

07 March 2012

Tekad ubah nasib keluarga suntik kejayaan STPM

Oleh: Aida Abd Rahman

Tekad mahu mengubah keadaan keluarga yang kini terpaksa bergantung kepada wang sumbangan tujuh abang dan kakak selepas kematian bapa empat tahun lalu menyebabkan Abdul Rahim Abdullah, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang muncul calon terbaik seluruh Terengganu bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 yang diumumkan hari ini.

Anak ke lapan daripada 10 beradik dari Kampung Tebakang, Bukit Payong itu mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan memperolehi 4 prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Dia yang kini menjadi guru gantian bagi mata pelajaran bahasa Arab Tingkatan Satu dan Dua sekolah yang sama sejak 15 Januari lalu, tidak menduga akan mendapat keputusan cemerlang dengan merekod A, masing-masing bagi mata pelajaran Pengajian Am, bahasa Melayu, bahasa Arab, Syariah dan A- bagi mata pelajaran Usuluddin.

“Saya bersyukur dan sangat gembira dengan keputusan yang diperolehi hari ini. Saya berhasrat mahu menyambung pengajian dalam bidang Syariah, Usuluddin ataupun bahasa Arab di Universiti Kebangsaan Malaysia atau Universiti Malaya.



“Selepas ini saya mahu mencapai cita-cita menjadi pensyarah dalam bidang agama, sekaligus tekad mahu mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik. Kejayaan ini juga untuk ibu saya, Romainor Mamat, 53, selain arwah bapa, Abdullah Mat Ali, 54, yang dulu bekerja sebagai pemandu lori kerana mereka banyak menyuntik semangat saya untuk meraih kejayaan ini,” katanya ketika ditemui di SMKA Durian Guling, Marang, sejurus mendapat keputusan STPM, hari ini.

Abdul Rahim pernah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir selepas mendapat keputusan cemerlang iaitu 8A, 2B dan 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2009 lalu, bagaimanapun faktor tidak mahu berhijrah dan meninggalkan keluarga terutama ibunya yang uzur menyebabkan dia nekad tidak menerima tawaran itu sebaliknya ke Tingkatan Enam di sekolah yang sama.

“Saya membuat keputusan menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam juga disebabkan peperiksaan ini tiada tekanan dan cabaran, malah lebih senang belajar di Tingkatan Enam berbanding mengikuti Matrikulasi..Kini terbukti keputusan saya dua tahun lalu itu tidak silap,” katanya.