Halaman

08 March 2012

Taman Panorama siap akhir lalu

Oleh: Suriati Ali

Taman Panorama yang tersergam indah di Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu siap sepenuhnya akhir tahun lalu dan bakal beroperasi dalam tempoh terdekat.

Pembangunan fasa pertama taman itu membabitkan peruntukan RM7.5 juta menerusi Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang, berkata taman yang bakal menaikkan imej Terengganu itu dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana moden, termasuk kawasan rekreasi, laluan pejalan kaki, pondok rehat dan menara tinjau.

Sebuah restoran yang mampu memuatkan 200 pengunjung pada satu masa dikenali sebagai panorama kafe turut dibina semata-mata mahu menarik minat pelancong tempatan dan luar negara bertandang ke taman itu.

“Setiap pengunjung pasti teruja kerana hampir keseluruhan kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu dapat di lihat melalui menara tinjau di taman itu,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Katanya, pembukaan Taman Panorama itu nanti diharap dapat menyelesaikan kemelut yang melanda penduduk sekitar berkaitan limpahan air selut dan hakisan tanah sepanjang projek itu berjalan.

“Pihak kami berharap taman ini akan dibuka secepat mungkin namun kerja-kerja sampingan sedang giat dijalankan bagi memastikan tiada sebarang masalah berbangkit apabila beroperasi kelak.

“Saya yakin kawasa itu bakal menjadi kawasan tumpuan baru bagi penduduk negeri ini dan pelancong selain daripada lokasi menarik lain seperti Taman Tamadun Islam, Pasar Besar Kedai Payang dan Pantai Batu Burok,” katanya.