Halaman

02 March 2012

Surat Tun Dr Mahathir kepada Israel bukti pendirian konsisten Malaysia : TPM

Oleh: Aida Abd Rahman

Surat yang dihantar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel jelas membuktikan pendirian konsisten Malaysia yang tidak mengiktiraf negara penjajah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dalam surat itu juga menyatakan permintaan negara supaya Israel berundur daripada kawasan yang diduduki serta tidak meneruskan kezaliman terhadap rakyat Palesti

Katanya, kandungan surat itu juga menjelaskan bahawa negara tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

“Memang jelas dan nyata dari dulu lagi kita mahu supaya rakyat Palestin memiliki negara sendiri, kedaulatan mereka dan hak mereka dihormati, jangan dizalimi, dibunuh dan penempatan mereka diambil oleh dengan sewenang-wenangnya oleh Israel.

"Jelas kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berdolak dalih dalam soal ini , tidak seperti Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim)..Masa dia (Anwar) dalam kerajaan dan dalam Umno dulu, dia bersama-sama dukung cita-cita kita mengenai nasib dan masa depan Palestin, tapi kini dia pentingkan keselamatan Israel. Itu yang diutamakan, soal rakyat Palestin yang dizalimi, tiada pembelaan langsung," katanya ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau menegaskan bahawa dasar dan pendirian kerajaan berhubung Israel tetap tidak berganjak dari zaman pentadbiran Dr Mahathir sehinggalah kepada Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sehingga hari ini pun, usaha kita dalam membantu rakyat Palestin yang ditindas berterusan, bantuan kemanusiaan yang kita salurkan kepada mereka juga masih berterusan," katanya.