Halaman

19 March 2012

Jambatan RM80 juta mercu tanda Daerah Marang

Oleh FAUZI MOHD dan AMIRULLAH OTHMAN

Jambatan empat lorong bernilai RM80 juta bakal dibina bagi menggantikan Jambatan Sungai Marang sedia ada.

Pegawai Daerah Marang, A. Rahman Che Ali berkata, jambatan yang dirancang pembinaannya setinggi lapan meter itu menjadi nadi laluan penting daerah berkenaan.

"Pembinaan itu bagi mengatasi masalah trafik di sekitar bandar Marang sekali gus menaikkan imej bandar ini sebagai bandar berkembar kepada Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas taklimat pembangunan Daerah Marang kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melawat ke pejabat daerah itu hari ini.

Mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Turut serta, Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharudin Sultan Mahmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, YB. Alias Abdullah dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar.

Tambah A. Rahman, tumpuan diberi terhadap pembinaan jambatan itu sebagai usaha menaiktaraf jambatan lama itu yang sudah ketinggalan berbanding jambatan-jambatan lain.

Katanya, dengan ketinggian sehingga lapan meter itu, ia membolehkan laluan bot besar persiaran dan bot nelayan di sungai berkenaan walaupun dalam keadaan air pasang.