Halaman

20 March 2012

Setiap rumah seunit komputer sudah tercapai.

Oleh; Esah Abdullah

Hasrat kerajaan untuk melihat setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya seunit komputer bagi penduduk di negeri ini sudah tercapai apabila kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan rakyat saling memberi dan menerima.

Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin berkata, pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun Empat dan Lima sejak empat tahun lalu serta pemberian Komputer 1Malaysia kepada pelajar sekolah menengah oleh Kerajaan Pusat membantu merialisasikan hasrat murni kerajaan.

“Dengan jumlah 1.4 juta penduduk di negeri ini saya yakin semua rumah sudah mempunyai sekurang-kurangnya seunit komputer,” katanya di majlis Pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal.

Dalam majlis itu, seramai 271 pelajar dari tiga buah sekolah rendah dalam Dun berkenaan menerima e-Book masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, beliau yakin semua keluarga ada lebih dari seunit komputer, kerana semua pelajar sekolah rendah dan menengah menerima pengagihan berkenaan kecuali rumah warga emas.

Sehingga akhir tahun lalu 92,326 e-Book telah berjaya diagih dan program berkenaan diteruskan tahun ini di mana kira-kira 23,000 pelajar Tahun Empat akan menerima pemberian kerajaan untuk meningkatkan kemahiran IT, pengetahuan am dan cemerlang dalam pelajaran.

Encik Hashim berharap ibu bapa bersyukur dan menghargai setiap pemberian kerajaan ini dengan cara memberi sokongan berterusan dalam usaha memertabatkan bidang pendidikan di negeri ini.