Halaman

04 March 2012

Seramai 1,578 penduduk Kampung Gertak Seratus jadi ahli perpustakaan



Oleh: Mohammad Ishak


Penduduk di perkampungan nelayan Kampung Gertak Seratus,Kuala Besut, tidak ketinggalan mendapatkan kemudahan tempat membaca yang lebih selesa apabila sebuah Perpustakaan Desa di bina di kampung itu.

Perpustakaan yang dibina 2010 dan mula beroperasi pada November tahun lalu, kini menyediakan 12,251 naskah buku untuk kemudahan pengunjung.

Pengerusinya, Maliki Jusoh berkata, pembinaan perpustakaan itu mendapat sambutan komuniti seteempat apabila 1,578 penduduk sudah mendaftar sebagai ahli sejak ia mula beroperasi.

Selepas tiga bulan perpustakaan itu beroperasi satu majlis perasmian dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kuala Besut.

Hadir sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Nor Akmal Abdul Fatah dan pegawai kanan PPAT.

Maliki berkata, perpustakaan berharga RM200,00 itu dibina bagi memberi peluang penduduk yang sebahagian besarnya nelayan mendapatkan bahan bacaan bermutu kepada pengunjung.

Sementara itu, Nor Akmal berkata, sehingga ini sebanyak 50 perpustakaan awam dibina di seluruh negeri Terengganu bagi member perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk setempat mendapatkan bahan bacaan.

Katanya, penduduk Terengganu memberi sambutan baik terhadap perpustakaan malah jumlah pengunjung ke perpustakaan amat menggalakkan walaupun ketika ini lebih ramai yang menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat.