Halaman

12 March 2012

Sekitar Kompleks Sukan Gong Badak bakal dilengkapi kemudahan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang melengkapkan persekitaran Komplek Sukan Gong Badak dengan pelbagai kemudahan asas untuk menghidupkan suasana, selain memastikan kawasan itu menjadi lokasi utama bagi aktiviti sukan dan riadah di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha penambahbaikan dan membangunkan kemudahan di kawasan itu khususnya tandas dan perkedaian akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam masa terdekat untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Kita akan lakukan perubahan dan penambahbaikan dari masa ke semasa supaya kawasan ini benar-benar menjadi kawasan sukan dan riadah setiap waktu sama ada siang dan malam,” katanya ketika sidang media sejurus acara pelepasan Terengganu Starhill 4x4 Challenge, di pinggiran Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kelmarin (10 Mac).
Katanya, lokasi berkenaan sesuai bagi penganjuran sukan lasak termasuk cabaran pemanduan pacuan empat roda sekaligus mampu menjadi satu produk tarikan pelancong dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Beliau berkata, usaha menarik pelancong bukan sahaja tertumpu kepada TMT 2013, malah perlu dijalankan secara berterusan pada setiap tahun dengan mempelbagaikan produk pelancongan yang dapat menarik penyertaan negara asing.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan memasang lampu limpah di stadium hoki Kompleks Sukan Gong Badak bagi mematikan perlawanan boleh diadakan pada sebelah malam.