Halaman

12 March 2012

PPPMCT diminta bantu masyarakat

Oleh; Esah Abdullah

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud memuji langkah Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) mewujudkan tabung amal dan program turun padang untuk membantu masyarakat dan juga ahli persatuan.



“Usaha berkenaan harus dicontohi kerana di samping pelbagai aktiviti untuk memantapkan ahli persatuan, masyarakat keliling juga tidak dilupakan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Penutup Perkhemahan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPPMCT di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PPPMCT, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Pesuruhjaya PPPMCT, Puan Zaini Mohd Nor.

Katanya, berbekalkan semangat yang gigih serta minda yang terbuka, kibarkan panji-panji kecemerlangan persatuan demi untuk bangsa yang perkasa.

Sehubungan itu, perkhemahan yang bertemakan ‘selamatkan bumi kita’ ini menjadi medan ahli mengenali dan menyanyangi bumi dari pelbagai masalah pemanasan global yang berlaku sekarang.

“Kita boleh berusaha mengurangkan masalah pembebasan karbon dioksida dengan mengambil langkah menanam lebih banyak pokok untuk perbanyakkan lagi oksigen dalam mengimbangi pelepasan karbon dioksida,” katanya.

To’ Puan Seri Hajah Norliza turut mengingatkan ahli persatuan yang lama bersedia berkongsi ilmu dengan ahli baru agar dapat memberi manfaat bukan saja kepada persatuan tetapi kepada masyarakat sekeliling.

“Untuk berjaya, kita tidak boleh dilakukan seorang diri sebaliknya kerjasama dan penglibatan pihak lain penting dalam mencipta kejayaan,” katanya.

To’ Puan Seri Hajah Norliza kemudiannya menyampaikan Sijil Juru Masak dan Sijil Pertolongan Cemas yang dimenangi peserta sepanjang perkhemahan.