Halaman

27 March 2012

Piala FA - Giliran T-Team mengasak Kedah di laman sendiri buru slot separuh akhir

Oleh FAUZI MOHD

Skuad T-Team kini dalam misi mencipta kemenangan di laman sendiri pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Kedah setelah terikat seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama di tempat lawan Sabtu lalu.

Jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata, kemenangan pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini amat penting bagi membolehkan nyalaan misi pasukan itu melangkah ke separuh akhir.

Katanya, semangat anak buahnya kini berkobar-kobar dengan keputusan seri 0-0 pada pertemuan sebelum ini ditambah bermain di hadapan penyokong sendiri yang menjadi faktor mampu mencatat kemenangan agregat menjinakkan skuad Kenari itu.

"Pertemuan suku akhir pertama di Kedah (Stadium Darul Aman) Sabtu lepas, kubu pertahanan kita berjaya bertahan dan tidak bolos walaupun diserang bertali-arus selama 90 minit.

"Kali ini giliran kita pula mengasak sebagaimana mereka mengasak kita dalam pertemuan sebelumnya. Saya mahu pemain saya tidak beri peluang kepada mereka untuk rapat ke kawasan kita," katanya.