Halaman

20 March 2012

Piala AFC : Penyu sekadar hadiahkan ‘sebiji telur’ kepada 10,000 penyokong

Oleh FAUZI MOHD

Skuad Penyu tersadai keletihan apabila direbahkan Kitchee FC, 0-2 pada perlawanan kedua Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan sorakan lebih 10,000 penyokong tuan rumah yang sanggup berpanas tidak menggoyahkan rentak kelab dari Hong Kong itu mengutip tiga mata penuh.

Terengganu yang disifatkan hanya mampu menghasilkan ‘sebiji telur’, tanpa sebarang gol turut tewas kepada perang psikologi pasukan pelawat yang sebelum itu mendakwa tidak mampu beraksi dengan baik akibat cuaca panas.

Skuad bimbingan jurulatih dari Sepanyol, Josep Gombau menutup tirai perlawanan separuh masa pertama dengan meledakkan gol pertama hasil hantaran lintang Lam Kam Wai kepada penyerang, Jorge Terres Paramo di minit ke-45.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak didik Mat Zan Mat Aris bangkit mengatur serangan yang menyaksikan Terengganu banyak mengawal permainan selang babak kedua berlangsung.

Namun, episod duka tetap memihak kepada tuan rumah apabila penjaga gawang, Mohd Sharmiza Yusoff tewas kepada kapten Kitchee FC, Chu Siu Kei di minit ke-74 dengan gol kedua.