Halaman

27 March 2012

Pesara kerajaan boleh bantu BN menang pilihan raya

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pesara kerajaan boleh membantu Barisan Nasional (BN) menang semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata jika semua pesara kerajaan mengundi calon-calon BN di peringkat Parlimen dan DUN pada pilihan raya itu, BN boleh mencapai kemenangan 100 peratus.

Beliau berkata, berdasarkan senarai nama pesara kerajaan yang diperolehi kelab tersebut, bilangan pesara kerajaan yang terdapat di kawasan DUN yang kini dimenangi parti pembangkang pada PRU12, ia melebihi majoriti yang diperolehi calon parti pembangkang.

“Jadi pihak kami membuat kesimpulan jika semua pesara kerajaan undi calon BN, maka BN boleh menang semua kerusi DUN di Terengganu, termasuk yang sebelum ini dimenangi calon daripada pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturahim YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said Bersama Pesara Kanan Kerajaan di Kediaman Seri Iman, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Pengerusi Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Terengganu, Dato’ Muhatar Abdullah.

Tan Sri Aseh berkata, pihaknya mengenal pasti lebih 21,000 pesara kerajaan yang terdapat di seluruh negeri ini dan pihaknya mahu mendekati golongan tersebut supaya mereka memihak kepada BN.

“Inilah cara yang pihak kami boleh bantu bagi memastikan BN dan Umno terus berkuasa di negeri ini dan Malaysia. Kita mahu BN menang di Parlimen dengan mendapat majoriti dua pertiga,” ujarnya.

Beliau berkata, golongan pesara perlu sedar bahawa Kerajaan BN begitu banyak berjasa kepada mereka semasa menjadi penjawat awam, termasuk dalam soal menjaga kebajikan penjawat awam.

“Inilah masa yang terbaik untuk kita semua membalas jasa yang dicurah kerajaan selama ini serta memastikan kesinambungan pentadbiran yang baik dan bersistematik bagi kebaikan generasi akan datang,” tambahnya.