Halaman

25 March 2012

Pengundi di kawasan pembangkang sokong BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sebahagian besar pengundi di kawasan yang dimenangi parti pembangkang kini mula menunjukkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.



Beliau berkata, ini merupakan tanda positif kepada BN dan pihaknya yakin akan mendapat sokongan daripada mereka yang sebelum ini mengundi pembangkang, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, beliau akan meneruskan perjumpaan dengan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini bagi meraih sokongan yang lebih besar kepada Umno dan Kerajaan BN.

“Saya telah bertemu dengan semua nelayan dan selepas ini saya akan bertemu pula dengan golongan peneroka Felda bagi menjelaskan pelbagai isu supaya mereka menyokong kerajaan,” katanya pada sidang media selepas majlis Penyampaian e-Book kepada Pelajar Tahun 4 dan Bantuan Rakyat 1Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, petang ini.



Lebih 100 penduduk di kawasan Manir menerima BR1M yang sebahagiannya disamapikan sendiri Menteri Besar pada majlis petang ini.

Menteri Besar berkata, pihak kerajaan perlu membetulkan salah tanggapan masyarakat Felda terhadap kerajaan akibat pemikiran mereka diracuni oleh pemimpin pembangkang.



Pada masa yang sama, katanya, beliau akan ‘turun padang’ di beberapa kawasan yang dikuasai parti pembangkang, termasuk Wakaf Mempelam bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikannya.

Katanya, beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan semua jentera parti khususnya Wanita Umno bagi memperkemaskan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya.